Friday, July 16, 2010

Subsidi kita dah semakin kurang

Kenyataan akhbar Perdana Menteri mengenai penyelarasan harga bahan api dan gula

2010/07/16

SEJAK mengambil alih teraju kepimpinan negara tahun lalu, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi. Kita membuka sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.

Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), saya mengatakan matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita daripada krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi daripada itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.

Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun, pertumbuhan saja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

Selaras dengan itu, Kabinet mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutama petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan gula akan diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini

Keputusan menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya, diasaskan daripada tiga perkara penting:

  • Semua subsidi ini tidak menepati sasaran ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi, yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.
  • Barangan bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 saja, ramai penyeludup ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi ada perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.
  • Kita perlu menukar cara menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes dan peningkatan jumlah penghidap diabetes, kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan adalah langkah yang tepat.
  • Ini adalah sebahagian sebab kenapa kerajaan memilih menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah perkara penting bagi negara dengan kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.

Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian SMS dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun ada penyelarasan harga.

Selain itu, penyelarasan harga barang akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan, iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuk pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.

Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minimum berbanding cadangan yang dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi kepentingan rakyat dengan ke- perluan menguruskan defisit negara.

Kurang subsidi jimatkan belanja
Oleh Azmi Md Deros

2010/07/16

NAJIB menerima geran tanah   daripada Bakar Zainol Abidin (kanan) yang   mendermakannya kepada UMNO Kuala Kedah sambil diperhatikan Lat Shariman selepas merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu, semalam.
NAJIB menerima geran tanah daripada Bakar Zainol Abidin (kanan) yang mendermakannya kepada UMNO Kuala Kedah sambil diperhatikan Lat Shariman selepas merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu, semalam.

Langkah kukuh kewangan agar diyakini pasaran dunia

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkan perbelanjaan serta mengurangkan defisit fiskal supaya kekuatan ekonomi negara lebih diyakini oleh pasaran dunia dan dalaman.

Perdana Menteri berkata, lebihan daripada penjimatan itu dapat digunakan untuk memenuhi lebih banyak agenda pembangunan negara yang akan membawa faedah lebih besar dan menyeluruh kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment