Thursday, January 27, 2011

Karathu ganti Sathia latih Kelantan

Karathu (duduk, enam dari kiri) bersama barisan pemain ketika membimbing pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia 18 tahun lalu.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru musim ini berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan B Sathianathan yang menjalani hukuman penggantungan selama enam bulan.

Perlantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta malam tadi.

Pemilihan Karathu mengakhiri spekulasi terkini mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih yang ditinggalkan Sathianathan tatkala sepak mula Liga Malaysia membabitkan perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, pertemuan diantara Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam hanya berbaki tiga hari sahaja lagi.

Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru ini juga bermakna beliau berjaya mengetepikan tiga lagi calon lain iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah, Bojan Hodak dan Peter James Butler sebagaimana yang telah diumumkan oleh Annuar Musa sebelum ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi berkata, pemilihan Karathu sebagai pengendali Kelantan yang baru berdasarkan pengalaman luas beliau menjadi jurulatih bola sepak sejak sekian lama.

“Dia (Karathu) dan Sathianathan akan melaporkan diri kepada pihak Kafa di Kota Bharu pada pagi esok (ini) bagi memulakan tugas baru mereka masing-masing. Karathu akan mengikat kontrak selama setahun melatih pasukan Kelantan,” katanya.

“Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru telah dipersetujui oleh bekas pengendali sebelum ini Sathianathan. Pihak pengurusan Kafa dan Sathianathan sebulat suara melantik dia sebagai pengendali pasukan kita yang baru berkuatkuasa serta-merta.

“Saya percaya berdasarkan pengalaman luas dia sebagai jurulatih bola sepak yang pernah melatih pasukan dalam dan luar negara dia tidak mempunyai masalah untuk membimbing Kelantan musim ini,”katanya.

Nama Karathu sudah pasti tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak Kelantan kerana dia pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 serta menjadi jurulatih import tempatan pertama yang berjaya membawa Kelantan mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

Sudah pasti para peminat Kelantan mengharapkan sentuhan ajaibnya selaku antara pakar taktikal terbaik di negara ini untuk membawa Kelantan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat pertama kali apabila bertemu Selangor di Shah Alam pada Sabtu biarpun hanya mempunyai masa tidak kurang daripada tiga hari melatih Kelantan.

KARATHU diberi tanggungjawab membimbing pasukan bola sepak Kelantan musim ini bagi menggantikan Sathianathan.

TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal menggantikan B. Sathianathan selaku ketua jurulatih The Red Warriors akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Datuk M. Karathu dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuatkuasa semalam.

Annuar memberitahu perkara itu dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau, Karathu yang merupakan bekas jurulatih skuad Seladang musim 2008-2009 akan mula melatih Kelantan hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.

Tugas pertama Karathu musim ini ialah bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyambut baik perlantikan tersebut.

Presidennya, Marhasim Mat berkata, pihaknya menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan yang ada pada jurulatih berkenaan.

B. Sathianathan

“Lagipun beliau pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 dan membantu pasukan kita mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

“Saya berharap beliau dapat meneruskan legasi kejayaan yang telah dibentuk oleh bekas jurulatih Sathianathan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, kelab tersebut meminta penyokong setia The Red Warriors menerima pelantikan tersebut dan percaya bahawa pihak pengurusan telah membuat pilihan yang terbaik untuk pasukan.

Selasa lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

Dia didapati bersalah kerana memberi kenyataan kepada media berhubung pemilihan stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Sathianathan memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kelantan pada 23 September 2009 selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas pemain West Ham United dan pengendali Persija Balik Papan, Peter James Butler.

Bersama Kelantan, dia membantu Kelantan melakar sejarah dengan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun.

KUALA LUMPUR - Kelantan kembali mendapat sentuhan bimbingan M. Karathu setelah terpaksa melupakan khidmat B. Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kerana mengkritik penjadualan perlawanan Liga Malaysia musim lalu.

Pelantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta di sini, semalam.

"Dia akan mula melatih Kelantan bagi menghadapi Liga M, Khamis ini (hari ini)," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL).

Selain pernah melatih Kelantan pada 1993, Karathu turut mencipta kegemilangan dengan negeri kelahirannya, Perak sebagai juara Piala FA 1990, naib juara Divisyen Dua 1989 dan Piala Sultan Ahmad Shah 2001.

Karathu juga pernah melatih Negeri Sembilan, Akademi Belia Malaysia, Woodlands Wellington (Singapura) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka.

Kini misi sulungnya ialah membawa Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi merampas Piala Sultan Ahmad Shah daripada juara bertahan, Selangor sekali gus membuka tirai aksi Wira Merah dalam Liga M 2011, Sabtu ini.

Cadang naik taraf asrama desa

PASIR PUTEH 26 Jan. – Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan kertas cadangan untuk menaik taraf asrama desa kepada asrama pedalaman bagi membolehkan lebih ramai pelajar luar bandar tinggal di asrama sekolah yang menawarkan pakej penginapan dan modul pendidikan lengkap.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, pada masa ini hanya 50 pelajar dibenarkan tinggal di asrama desa dengan bayaran RM1 seorang manakala sebanyak RM12 lagi ditanggung oleh kementerian melibatkan kos pengurusan dan penyediaan makanan.

“Pelaksanaan asrama pedalaman yang bakal dilaksanakan nanti akan membolehkan seramai 70 pelajar mendapat manfaatnya termasuk pertimbangan untuk penyediaan makanan percuma.

“Ia tidak melibatkan pembinaan semula bangunan tetapi hanya membabitkan pertambahan bilangan pelajar yang difikirkan perlu tinggal di asrama berkenaan bagi mengikuti pembelajaran di luar waktu persekolahan termasuk kelas tambahan dan program pembelajaran kendiri di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Terima Kasih Cikgu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Puteh, Ismail Ghazali.

Mohd. Puad berkata, kemudahan asrama memberi banyak kesan positif kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama yang mana mereka akan berada di sekolah dengan pengawasan guru untuk mengulang kaji pelajaran.

Kecemerlangan sekolah bergantung kepada Pengetua



Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan sekumpulan peserta selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di Brunei, semalam. Turut serta, Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Awang Abu Bakar Apong (kiri). - BERNAMA


BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan berkualiti dan pelajar berprestasi tinggi sangat bergantung kepada kemampuan kepimpinan di peringkat sekolah terutama pengetuanya dalam menjalankan tugas dengan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ibu bapa dan guru bertanggungjawab dalam pembentukan minda pelajar, pengetua sekolah pula berperanan untuk meningkatkan kemampuan guru bagi menentukan acuan generasi masa depan.

"Sebagai ibu bapa, kita sering memilih sekolah yang bukan sahaja kerana kualiti kemudahannya untuk anak-anak belajar tetapi juga kepimpinan sekolah itu yang melibatkan guru dan pengetua," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Perkongsian dan Menggunapakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara ke Arah Pembentukan Modal Insan dan Pendidikan Inovasi Abad Ke-21 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Menteri Pelajaran, ibu bapa percaya sekolah yang mempunyai kemudahan, guru dan pengetua cemerlang akan dapat menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Sehubungan itu katanya, pengetua sekolah perlu mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka termasuk mampu membawa perubahan positif di kalangan pelajarnya.

"Pengetua sekolah mesti responsif terhadap pertumbuhan yang dinamik dan pembangunan di sekeliling anak-anak dan mampu menyediakan masa depan untuk mereka.

"Ini menuntut pengetua sekolah mesti mempunyai wawasan untuk pelajarnya bagi menjadi apa dan apa yang mampu dilakukan oleh mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, pengetua sekolah yang mempunyai wawasan baru bukan sahaja mampu mencapai aspirasi negara dalam bidang pendidikan tetapi juga dapat mengupayakan kehidupan pelajar selepas sekolah tanpa mengira kaum, status sosial dan jantina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, para pengetua juga perlu diberi galakan dan sokongan terutama dalam menghadapi cabaran semasa agar mereka mampu menjadi peneraju yang baik.

Selain perlu mendapatkan idea baru tentang bilik darjah dan pendidikan, katanya, pengetua sebagai peneraju perubahan perlu diberi pendedahan mengenai pemikiran strategik dan kecekapan dalam organisasi.

Forum tersebut yang akan berakhir Jumaat ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara persatuan-persatuan pengetua di rantau ini, mempromosikan globalisasi dalam pendidikan, mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk ASEAN.

Pada akhir forum anjuran Sekretariat SEASPF itu, satu deklarasi akan dikeluar dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing untuk tindakan lanjut.

PERTANDINGAN ANUGERAH INOVASI KPM SEMPENA HARI GURU 2011











27 Januari 2011
PKG Banggol, Kota Bharu,
Kelantan.

Pada hari ini telah diadakan pembentangan projek oleh para guru yang bertanding di dalam Pertandingan Anugerah Inovasi KPM sempena perayaan Hari Guru 2011 peringkat negeri Kelantan. Pertandingan ini terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Guru Sekolah Rendah dan Guru Sekolah Menengah, guru individu dan guru berkumpulan. Para peserta adalah terdiri daripada guru-guru yang mewakili semua PPD di Kelantan.

Kami yang terdiri daripada 4 orang guru daripada SMT Kuala Krai yang mewakili PPD Kuala Krai telah bertanding di dalam acara berkumpulan. Tajuk projek yang telah kami bentangkan adalah bertajuk Smart Angkut yang dihasilkan berdasarkan subjek Mekatronik iaitu gabungan elemen mekanikal dan elektronik.

Projek ini dapat membantu para pelajar dan guru di dalam proses P&P supaya lebih berkesan iaitu sebagai salah satu alat bantu mengajar. Ianya dapat merealisasikan teori ke dalam alam nyata yang lebih memudahkan pelajar memahami apa yang sedang mereka pelajari.

Semoga projek kami akan mendapat kemenangan dan dapat mewakili JPN Kelantan ke peringkat Kebangsaan nanti. Hanya para Hakim yang lebih arif dapat menilainya. Kita hanya merancang sahaja.

SELAMAT DATANG TUAN PENGETUA KE SMTKK
















22 Januari 2011 (Sabtu)

Majlis sambutan Tuan Pengetua SMTKK yang baru iaitu
Tuan Haji Mohd Shakri b. Abdul Halim ke SMTKK telah diadakan secara rasminya pada 22 Januari 2011. Tuan Haji Mohd Shakri b. Abdul Halim telah dihantar oleh rombongan daripada SMT Pasir Mas iaitu tempat beliau bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di sana. Rombongan itu diketuai oleh Pengetua SMT Pasir Mas dan kakitangan serta staff mereka. Kedatangan rombongan daripada SMT Pasir Mas telah disambut oleh kakitangan SMT Kuala Krai yang diketuai oleh Penolong Kanan Pentadbiran dan semua guru-guru, staff dan tidak lupa juga para pelajar. Satu majlis jamuan kesyukuran telah diadakan pada hari berkenaan.

Namun begitu sebenarnya Tuan Pengetua telah melaporkan diri di SMTKK ini pada 14 Disember 2010 lagi iaitu selepas beliau balik daripada menunaikan Haji. Kedatangan Tuan Pengetua pada hari berkenaan telah disambut oleh Penolong-penolong Kanan, Ketua-ketua Bidang, Ketua-ketua Jabatan dan kakitangan Staff. Sambutan pada hari itu tidak diadakan secara besar-besaran memandangkan pada hari itu adalah musim cuti sekolah dan pelajar-pelajar tingkatan 5 sedang menghadapi Peperiksaan SPM. Walaupun sambutan pada hari itu adalah kecil namun ianya masih di dalam suasana yang meriah kerana pada hari berkenaan adalah secara kebetulan diadakan ceramah sentuhan akhir untuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan MPAV pada keesokan harinya. Jadi ramailah para guru yang kebetulan datang untuk memberi sentuhan kepada pelajar MPAV dapat bersua mata dengan Tuan Pengetua yang datang mendaftar pada hari berkenaan.



Monday, January 17, 2011

berita bptv

1SMV 1produk komersial


Rostrum Pintar SMT Sri Pelindung menjadi produk pertama yang akan dikomersialkan oleh BPTV dengan kerjasama SIRIM pada tahun ini.


BAHAGIAN Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) memperkenalkan satu produk komersial setiap tahun daripada sekolah menengah vokasional (SMV) mulai tahun ini.

Kata Pengarahnya, Ahmad Tajudin Jab (gambar) berkata, pada tahun ini, pihaknya dengan kerjasama SIRIM akan mula mengkomersialkan produk SMV dan teknik yang bernilai komersial.

Menurut beliau, produk sulung Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sri Pelindung Kuantan, Pahang berjaya mengungguli kategori sekolah dengan reka cipta Rostrum Pintar (RosPin) yang mempunyai kebolehan untuk menyelaras ketinggian mikrofon secara automatik mengikut ketinggian penggunanya.

RosPin telah digunakan dengan meluas pada majlis dalaman sekolah dan yang melibatkan kenamaan - termasuk pernah digunakan oleh mantan Perdana Menteri.

Rostrum itu pernah menerima anugerah utama kategori sekolah dalam Majlis Anugerah Inovasi Negara beberapa tahun lalu.

Apabila dipasarkan kelak, pemegang hak cipta harta intelek bersama ialah SMV dan SIRIM.

"Jadi kita berharap satu tahun akan ada satu produk daripada SMV kerana kita hendak mengetengahkan hasil reka cipta pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Tentang perkembangan terbaru dan yang sedang dirancang, Tajuddin berkata, mulai tahun ini dan 2012, pihakya akan mengadakan program rintis ekuin di dua buah sekolah vokaisonal iaitu SMV Sungai Buloh dan SMV Kajang.

Seramai 40 pelajar daripada kedua-dua sekolah itu akan mengikuti program ekuin dalam beberapa tahap sijil sebelum layak diserap ke dalam industri ekuin.

"Malah pelajar yang berminat boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke Australia dalam bidang yang sama," katanya.

Selain ekuin, bidang baru yang sedang dinaik taraf dengan giat ialah bidang maritim. Bagi tujuan itu, sumber memberitahu, tapak Kejuruteraan Kerja Masa (KKM) Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai SMV (Maritim) Pasir Gudang.

Menurut sumber tersebut, kerja-kerja pengambilan tapak telah dilakukan oleh Bahgaian Pembangunan Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua buah kapal juga telah dipohon daripada Jabatan Perikanan Malaysia iaitu KL Paus dan KL Manchong.

Utusan Malaysia juga diberitahu, sejajar dengan dinamisme kurikulum di sekolah beraliran vokasional, BPTV tidak bercadang membuat satu kurikulum untuk satu jangka masa yang panjang.

Sehubungan itu, BPTV telah memohon supaya pembangunan kurikulum pada masa depannya tidak melalui Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP).


p/s: Semoga SMTKK juga akan mencapai kejayaan seperti ini pada tahun 2011 ini.

Friday, January 7, 2011

PENGANUGERAHAN D.K. SELANGOR KEPADA SULTAN MUHAMMAD KE-V






KENYATAAN MEDIA
PEJABAT SULTAN KELANTAN

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, merakamkan ucapan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia serta berharap tahun baru hijrah dan tahun baru masihi ini akan membawa kebahagiaan kepada rakyat negara ini. Tuanku Al-Sultan yang baru pulang dari mengerjakan haji di Mekah Al-Mukarramah berada dalam keadaan sihat sejahtera dan berharap seluruh rakyat Kelantan dilimpahi rahmat dan mendapat barakah daripada Allah S.W.T.

2. Pada hari ini, 5hb Januari 2011, Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat (D.K.) Selangor Yang Amat Dihormati oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V dan Pengurniaan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Al-Muhammadi) (S.P.M.K) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, dengan penuh adat istiadat dan tradisi kesultanan Melayu.

3. Penganugerahan darjah kebesaran ini menggambarkan betapa rapatnya hubungan di antara Istana Kelantan dan Istana Selangor khususnya dan di antara rakyat kedua-dua negeri amnya. Rakyat negeri Kelantan amat berbesar hati di atas penganugerahan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Al-Sultan Kelantan.

4. Dalam istiadat ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berangkat dan menganugerahkan sendiri darjah kebesaran tersebut kepada Al-Sultan Kelantan di mana istiadat ini dimulakan dengan keberangkatan masuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima DiRaja Selangor ke Balai Singgahsana.

5. Turut berangkat dalam istiadat tersebut adalah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Laksamana Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Ketua Istiadat dan pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan. Manakala turut hadir di pihak Istana Selangor pula adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Panglima DiRaja Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor, Kerabat-Kerabat DiRaja Selangor, Ahli-Ahli Dewan DiRaja Selangor dan Pembesar-Pembesar Negeri Selangor.

6. Istiadat tersebut dimulakan dengan penganugerahan Darjah Kerabat (D.K.) Selangor Yang Amat Dihormati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V diikuti dengan pengurniaan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Al-Muhammadi) (S.P.M.K) kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama DiRaja Mufti Selangor. Selepas Istiadat tersebut selesai, satu majlis santapan tengahari turut diadakan.

7. Dengan pengurniaan ini adalah diharapkan agar hubungan di antara Keluarga D’Raja Kelantan dan Keluarga D’Raja Selangor akan menjadi lebih erat lagi dan Institusi D’Raja di negara ini akan lebih mantap dan terus disanjung rakyat jelata dimana Institusi D’Raja menjadi payung kesejahteraan rakyat.

8. Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan Kerabat-Kerabat D’Raja. Moga-moga kita akan terusa dipelihara oleh Allah S.W.T dan berada di dalam aman sejahtera di negara yang kita cintai ini.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih

DATO’ HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI HAMAD

Ketua Istiadat
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan

Bertarikh: 5hb Januari 2011

p/s; daulat tuanku, allahuakbar

Taklimat Transformasi VocTech Oleh Tuan Pengarah BPTV di SMTPJB


Pada 31 Disember 2010 ( Jumaat ) yang lalu, Pengarah BPTV, Tuan Hj. Ahmad Tajudin bin Jab telah menyampaikan Taklimat Transformasi VocTech dan sesi dialog kepada pengetua-pengetua SMT dan SMV zon selatan, PIBG, kumpulan G8 dan Ketua Bengkel yang bertempat di Bilik Gerakan Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Taklimat yang bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam telah memberi ruang kepada Tuan Pengarah untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang transformasi VocTech dan cadangan dari pelaksana dasar. Pelbagai input yang diberikan diharap dapat menjelaskan perkembangan terkini tentang transformasi pendidikan teknik dan vokasional yang sedang meniti era yang lebih mencabar di masa akan datang.

Puad: Keputusan wajib lulus sejarah SPM muktamad

Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi, hari ini menjelaskan, keputusan mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013 adalah muktamad.

Dr Puad ZarkashiMenurut beliau, cuma yang belum diputuskan ialah bentuk kurikulum mata pelajaran tersebut yang akan digubal dan pendekatannya bagi memastikan ia benar-benar memberi impak berkesan bagi memastikan pelajar menghayati sejarah.

"Sebenarnya, keputusan wajib lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM adalah muktamad. Kita hanya menunggu hasil kajian daripada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah sekolah menengah.

"Jawatankuasa ini sedang membuat kajian bagi memastikan kurikulum yang baru dan bakal digubal kelak benar-benar memberi impak yang berkesan untuk melahirkan generasi yang menghayati sejarah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan guru-guru sekolah kebangsaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Tenang hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut perlu diperjelaskan kerana ia boleh disalah ertikan seolah-olah kementerian akan berpatah balik dalam keputusannya untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mulai 2013.

Beliau juga berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu dianggotai oleh pakar sejarahwan dan pensyarah universiti yang pakar dalam bidang Sejarah.

Kementerian, katanya akan memperkenalkan Sijil Peperiksaan ulangan untuk mata pelajaran Sejarah kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM mulai 2013.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan pelajar yang gagal mata pelajaran itu mengambil peperiksaan ulangan sebagaimana mata pelajaran Matematik dan Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil SPM.

- Bernama

p/s; dengan memahami sejarah kita baharulah rakyat akan sedar siap diri mereka yg sebenar2nya.

NUTP cadang sistem penilaian baru naik gaji

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya sistem baru untuk menilai prestasi kerja penjawat awam kelak hanya membabitkan soal pergerakan gaji kakitangan dan bukannya untuk tujuan kenaikan pangkat.

nutp national union of teaching professionPresidennya, Hashim Adnan, berkata urusan kenaikan pangkat perlu diserahkan sepenuhnya kepada ketua jabatan yang membuat penilaian berdasarkan prestasi dan pengalaman.

Menurut beliau, cara begitu akan memberi peluang kepada guru terutamanya untuk naik pangkat selepas lama berkhidmat tanpa perlu memikirkan soal perlu lulus sebarang peperiksaan awam seperti sebelum ini.


"Ada guru yang sudah lama berkhidmat tetapi masih gagal dalam peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum ini dan gagal menerima kenaikan pangkat selama bertahun-tahun," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

NONEOktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa peperiksaan PTK dimansuhkan bermula Jun tahun ini dan akan digantikan dengan penilaian lain yang lebih baik.

Hashim berkata, NUTP sudah diminta oleh kerajaan untuk turut memberikan pandangan dalam menetapkan sistem penilaian baru itu.

- Bernama

p/s; perlukan penambahbaikan di dalam sistem pendidikan negara kita utk memajukan lagi anak-anak bangsa kita tp yg terlebih penting kebajikan guru mesti diutamakan dahulu.