Wednesday, July 28, 2010

DG41 - DG48 DAPAT AKTIF DALAM POLITIK

Guru aktif politik perlu profesional
Oleh Azrina Ahzan, Sazarina Shahrim, Haspaizi Mohd Zain dan Zanariah Abd Mutalib (BERITA HARIAN)

2010/07/28

PUTRAJAYA: Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang ingin bergiat aktif dalam parti politik diminta bersikap profesional dengan menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik dan menjadikan politik sebagai tugas sampingan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pihaknya menerima keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan gred berkenaan terbabit dalam politik dengan perasaan berbelah-bahagi.

Sebelum ini, walaupun kerajaan menghalang guru daripada terbabit dalam politik sudah berlaku pelbagai masalah di sekolah akibat perbezaan pandangan guru dalam politik.

Jadi kita khuatir kebenaran untuk guru berpolitik ini akan memburukkan keadaan kecuali guru terbabit mampu bersikap profesional dan meninggalkan parti politik yang dianggotai di pintu pagar sekolah, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam kenyataannya bagaimanapun, berkata kebenaran itu juga tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan.

Hashim turut menyatakan kebimbangannya mengenai kuasa mutlak yang diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk mengeluarkan kelulusan bertulis kepada pegawai perkhidmatan pendidikan terbabit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati individu yang gagal memperoleh kebenaran terbabit.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang gagal mendapat kebenaran bertulis mungkin menggunakan saluran politik untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka dan ini boleh menjejaskan kewibawaan KSU kementerian yang boleh dianggap bersikap pilih kasih atau diskriminasi terhadap mana-mana parti politik, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Anuar Ibrahim, berkata keputusan itu amat tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada guru untuk berkongsi pandangan mereka dalam bidang politik.

Beliau yang juga bekas Presiden NUTP berkata, keputusan menyekat pegawai terbabit menyebabkan banyak maklumat pada peringkat akar umbi gagal disalurkan ke peringkat tertinggi kerana ketiadaan saluran.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata guru yang ingin berpolitik perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan politik.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah negara, politik digerakkan oleh guru kerana golongan ini mengutamakan bakti kepada negara serta perkhidmatan mereka sebagai pendidik.

Justeru, langkah ini boleh digalakkan tetapi pada masa sekarang yang mana politik dicemarkan dengan wang, mesti ada suatu penilaian kepada mereka ini untuk berpolitik. Kita takut nanti dia ada mahu berjaya dalam politik sehingga mengabaikan tugas sebagai pendidik, katanya

Pegawai siswazah bukan pendidikan belum boleh berpolitik

28/07/2010 5:17pm

PUTRAJAYA 28 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai siswazah kumpulan selain daripada pendidikan terbabit dalam politik.

Perdana Menteri berkata, ini bagi mengelakkan timbul konflik kepentingan kerana pegawai siswazah kumpulan bukan pendidikan ada kuasa eksekutif berbanding guru-guru.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abd. Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. – Utusan


Sudah tiba masa untuk mahasiswa berpolitik – Saifuddin

28/07/2010 1:39pm

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

“Jika sekarang guru siswazah DG 41 hingga DG 48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita beri peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya di sini hari ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment