Thursday, January 27, 2011

Karathu ganti Sathia latih Kelantan

Karathu (duduk, enam dari kiri) bersama barisan pemain ketika membimbing pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia 18 tahun lalu.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru musim ini berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan B Sathianathan yang menjalani hukuman penggantungan selama enam bulan.

Perlantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta malam tadi.

Pemilihan Karathu mengakhiri spekulasi terkini mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih yang ditinggalkan Sathianathan tatkala sepak mula Liga Malaysia membabitkan perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, pertemuan diantara Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam hanya berbaki tiga hari sahaja lagi.

Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru ini juga bermakna beliau berjaya mengetepikan tiga lagi calon lain iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah, Bojan Hodak dan Peter James Butler sebagaimana yang telah diumumkan oleh Annuar Musa sebelum ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi berkata, pemilihan Karathu sebagai pengendali Kelantan yang baru berdasarkan pengalaman luas beliau menjadi jurulatih bola sepak sejak sekian lama.

“Dia (Karathu) dan Sathianathan akan melaporkan diri kepada pihak Kafa di Kota Bharu pada pagi esok (ini) bagi memulakan tugas baru mereka masing-masing. Karathu akan mengikat kontrak selama setahun melatih pasukan Kelantan,” katanya.

“Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru telah dipersetujui oleh bekas pengendali sebelum ini Sathianathan. Pihak pengurusan Kafa dan Sathianathan sebulat suara melantik dia sebagai pengendali pasukan kita yang baru berkuatkuasa serta-merta.

“Saya percaya berdasarkan pengalaman luas dia sebagai jurulatih bola sepak yang pernah melatih pasukan dalam dan luar negara dia tidak mempunyai masalah untuk membimbing Kelantan musim ini,”katanya.

Nama Karathu sudah pasti tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak Kelantan kerana dia pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 serta menjadi jurulatih import tempatan pertama yang berjaya membawa Kelantan mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

Sudah pasti para peminat Kelantan mengharapkan sentuhan ajaibnya selaku antara pakar taktikal terbaik di negara ini untuk membawa Kelantan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat pertama kali apabila bertemu Selangor di Shah Alam pada Sabtu biarpun hanya mempunyai masa tidak kurang daripada tiga hari melatih Kelantan.

KARATHU diberi tanggungjawab membimbing pasukan bola sepak Kelantan musim ini bagi menggantikan Sathianathan.

TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal menggantikan B. Sathianathan selaku ketua jurulatih The Red Warriors akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Datuk M. Karathu dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuatkuasa semalam.

Annuar memberitahu perkara itu dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau, Karathu yang merupakan bekas jurulatih skuad Seladang musim 2008-2009 akan mula melatih Kelantan hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.

Tugas pertama Karathu musim ini ialah bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyambut baik perlantikan tersebut.

Presidennya, Marhasim Mat berkata, pihaknya menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan yang ada pada jurulatih berkenaan.

B. Sathianathan

“Lagipun beliau pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 dan membantu pasukan kita mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

“Saya berharap beliau dapat meneruskan legasi kejayaan yang telah dibentuk oleh bekas jurulatih Sathianathan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, kelab tersebut meminta penyokong setia The Red Warriors menerima pelantikan tersebut dan percaya bahawa pihak pengurusan telah membuat pilihan yang terbaik untuk pasukan.

Selasa lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

Dia didapati bersalah kerana memberi kenyataan kepada media berhubung pemilihan stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Sathianathan memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kelantan pada 23 September 2009 selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas pemain West Ham United dan pengendali Persija Balik Papan, Peter James Butler.

Bersama Kelantan, dia membantu Kelantan melakar sejarah dengan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun.

KUALA LUMPUR - Kelantan kembali mendapat sentuhan bimbingan M. Karathu setelah terpaksa melupakan khidmat B. Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kerana mengkritik penjadualan perlawanan Liga Malaysia musim lalu.

Pelantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta di sini, semalam.

"Dia akan mula melatih Kelantan bagi menghadapi Liga M, Khamis ini (hari ini)," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL).

Selain pernah melatih Kelantan pada 1993, Karathu turut mencipta kegemilangan dengan negeri kelahirannya, Perak sebagai juara Piala FA 1990, naib juara Divisyen Dua 1989 dan Piala Sultan Ahmad Shah 2001.

Karathu juga pernah melatih Negeri Sembilan, Akademi Belia Malaysia, Woodlands Wellington (Singapura) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka.

Kini misi sulungnya ialah membawa Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi merampas Piala Sultan Ahmad Shah daripada juara bertahan, Selangor sekali gus membuka tirai aksi Wira Merah dalam Liga M 2011, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment