Thursday, January 27, 2011

Cadang naik taraf asrama desa

PASIR PUTEH 26 Jan. – Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan kertas cadangan untuk menaik taraf asrama desa kepada asrama pedalaman bagi membolehkan lebih ramai pelajar luar bandar tinggal di asrama sekolah yang menawarkan pakej penginapan dan modul pendidikan lengkap.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, pada masa ini hanya 50 pelajar dibenarkan tinggal di asrama desa dengan bayaran RM1 seorang manakala sebanyak RM12 lagi ditanggung oleh kementerian melibatkan kos pengurusan dan penyediaan makanan.

“Pelaksanaan asrama pedalaman yang bakal dilaksanakan nanti akan membolehkan seramai 70 pelajar mendapat manfaatnya termasuk pertimbangan untuk penyediaan makanan percuma.

“Ia tidak melibatkan pembinaan semula bangunan tetapi hanya membabitkan pertambahan bilangan pelajar yang difikirkan perlu tinggal di asrama berkenaan bagi mengikuti pembelajaran di luar waktu persekolahan termasuk kelas tambahan dan program pembelajaran kendiri di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Terima Kasih Cikgu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Puteh, Ismail Ghazali.

Mohd. Puad berkata, kemudahan asrama memberi banyak kesan positif kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama yang mana mereka akan berada di sekolah dengan pengawasan guru untuk mengulang kaji pelajaran.

No comments:

Post a Comment