Tuesday, June 8, 2010

BPTV - pelancaran buku reka cipta dan inovasi

Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional


alt

Kangar – 27 Februari 2010 - Karnival Malaysia Inovasi 2010 di Kangar telah mencipta satu kenangan manis dan menyaksikan satu sejarah dilakarkan buat semua warga Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional apabila DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis telah sudi mencemar duli melancarkan buku kompilasi reka cipta bertajuk “Reka cipta dan Inovasi SMT: Transformasi dicipta,Inovasi Terbina, Warisan Kecemerlangan anak bangsa. Buku ini diterbitkan bersama Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional dengan MH TR Resources Network pada awal tahun 2010. Pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Tuan Haji Ahmad Tajudin bin Jab telah menyampaikan senaskhah buku sebagai cenderamata kepada DYTM Raja Muda Perlis. Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh YB Menteri Besar Perlis, YB Dato’ Seri Dr Md Isa bin Sabu, YB Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, para Exco Kerajaan Negeri Perlis dan pegawai –pegawai pengurusan tertinggi dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Pengarah urusan MH TR Resources Networks, En. Mohd Hafiz bin Md Tamaji telah memberikan penerangan ringkas kepada tetamu diraja dan hadirin lain tentang keistimewaan beberapa bahan reka cipta yang terdapat di situ dan yang telah memenangi pertandingan reka cipta sehingga ke peringkat antarabangsa.

alt

DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis mendengar penerangan tentang buku tersebut daripada Pengarah BPTV, Tn Haji Ahmad Tajudin Bin Jab.

alt

Sebanyak 40 bahan reka cipta pelajar Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional yang dihasilkan melalui Pertandingan Reka cipta dan Inovasi SMT dalam Kejohanan Antara Teknik peringkat zon dan kebangsaan yang telah diadakan sejak tahun 2006 telah berjaya dikompilasikan. Usaha mengumpul dan mengkompilasikan bahan reka cipta ternyata mendapat pujian terutamanya daripada pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi memandangkan pihak BPTV telah mengambil langkah proaktif untuk mendokumentasikan hasil kreativiti pelajar ini. Ternyata Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah berjaya mencipta budaya reka cipta dan inovasi dalam kalangan warganya kerana segala kemahiran yang dipelajari dan kemudahan yang disediakan di sekolah telah menjentik idea kreatif pelajar untuk mencipta sesuatu produk yang mempunyai nilai pasaran. Budaya ini selari dengan hasrat YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dalam ucapan beliau ketika membentangkan Bajet 2010.

No comments:

Post a Comment