Saturday, June 12, 2010

Berita tentang Subkhidin


Pengadil Negara Akan Beraksi Pada Perlawanan Pembukaan Piala Dunia

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia tidak bertanding pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula 11 Jun ini tetapi wakil negara akan "beraksi" pada perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico sebagai pengadil.

Pengadil Subkhidin Mohd Salleh, 44, bakal mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai pengadil keempat pada perlawanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata Subkhidin adalah wakil Malaysia yang pertama dipilih sebagai pengadil untuk perlawanan Piala Dunia.

"Baru tadi saya diberitahu oleh urusetia Persatuan Bola Sepak Malaysia bahawa Subkhidin mendapat penghormatan sebagai pengadil keempat pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Mexico dan Afrika Selatan," katanya kepada pemberita di sini.

"Walaupun sebagai pengadil keempat, ia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia kerana bukan senang untuk terpilih sebagai pengadil perlawanan pembukaan," katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata pemilihan Subkhidin, guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, sebagai pengadil pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 itu merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan arena bola sepak negara.

Subkhidin yang mempunyai kelayakan sebagai pengadil Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah dipilih untuk Piala Dunia 2006 di Jerman tetapi tidak mengendalikan sebarang perlawanan.

Sebanyak 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu.

Dua pengadil Malaysia lain pernah dipilih sebagai pembantu pengadil kejohanan itu iaitu Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

Pada kejohanan kali ini, FAM akan mempunyai dua lagi pegawai yang turut terlibat iaitu Datuk Dell Akhbar Khan dalam aspek keselamatan dan Paul Windsor sebagai komisioner perlawanan dan penyelaras gelanggang.

-- BERNAMA


FAM rai pemergian Subkhiddin
Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/06/01

PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin (kanan) menyerahkan cenderahati kepada  Subkhidin   sebagai tanda penghargaan  dipilih menjadi  pengadil Piala Dunia 2010. Turut disaksikan Setiausaha Agung FAM, Azzudin Ahmad.

PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Subkhidin sebagai tanda penghargaan dipilih menjadi pengadil Piala Dunia 2010. Turut disaksikan Setiausaha Agung FAM, Azzudin Ahmad.
'Misi saya ke Afrika Selatan juga untuk teruskan impian rakan seperjuangan'

PEMILIHAN pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh ke Piala Dunia 2010 bukan sahaja sanjungan buat dirinya dan negara tetapi juga penghormatan buat rakan seperjuangan, Allahyarham Nazri Abdullah yang meninggal dunia, tahun lalu.
Nazri yang pulang ke rahmatullah, tahun lalu pada usia 54 tahun akibat serangan sakit jantung ketika mengendalikan seminar pengadil dan penolong pengadil Piala Dunia 2010 di Las Palmas, Kepulauan Canary, Sepanyol, disifatkan Subkhiddin sebagai orang pertama yang membawanya ke dunia pengadilan antarabangsa.

“Ketika saya mula berkecimpung sebagai pengadil antarabangsa pada 2000, saya menganggap Allahyarham Nazri sebagai abang. Dia banyak membantu saya dengan memberi latihan dan galakan.

“Dia sentiasa bertanyakan saya, ‘Apakah cita-cita anda dalam pengadilan?’ Sejak daripada itu saya menjawab, untuk mengadili perlawanan di Piala Dunia,” kata Subkhiddin yang ditemui di Wisma FAM pada majlis ringkas meraikannya sebelum pemergiannya ke Afrika Selatan, hari ini.

Guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang berusia 44 tahun itu akan ke Johannesburg dalam misi untuk memenuhi cita-citanya dan meneruskan impian rakan seperjuangan menjadi pengadil Malaysia pertama mengendalikan perlawanan di Piala Dunia.

Sebelum ini dua watak tengah di atas padang, Allahyarham Kapt Halim Abdul Hamid dan Mat Lazim Awang Hamat menjadi penolong pengadil masing-masing pada Perancis 1998 dan Korea Selatan-Jepun 2002.
Subkhiddin sendiri pernah mencuba pada 2006 di Jerman tetapi gagal dengan tempatnya diambil pengadil Singapura, Shamsul Maidin.

Baginya, penampilan di Piala Dunia adalah pelengkap buat kerjayanya sepanjang 20 tahun dengan 2011 adalah tahun terakhir sebelum bersara pada 2012.

No comments:

Post a Comment