Kegigihan ibu buahkan hasil
|
|
KOTA BHARU 12 Nov. - Dibandingkan dengan pelajar normal lain, keupayaan Ahmad Faiz Ibrahim, seorang murid tergolong orang kurang upaya (OKU) yang juga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini amat terbatas.
Namun semalam, apabila keputusan peperiksaan tersebut diumumkan, penghidap cerebral palsy itu ternyata mampu 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan rakan-rakan yang mencatat kejayaan apabila dia memperoleh 4A 1B.
Murid dari SK Kubang Kerian 1 di sini, tidak mengalah dengan kecacatannya walaupun kehadiran dia di kelas sering mencuri tumpuan rakan-rakan apatah lagi melihat ketekunannya menguasai kemahiran menulis menggunakan daya tolakan dagu.
Dengan menyepit pensil di celah jari tangan kanan yang lemah, Ahmad Faiz akan mendekatkan hujung mukanya di atas meja, kekuatan otot dagunya akan menolak tangannya itu mengikut lenggok tulisan yang diingini.
Walaupun dalam serba kepayahan anak sulung dari empat adik-beradik ini cekal, tabah dan yakin dengan kemampuannya bersaing dengan rakan-rakan untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
"Saya bersyukur kerana berjaya memperoleh 4A dalam Matematik, Sains, Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan manakala Bahasa Inggeris dapat B. Keputusan yang sama juga saya peroleh ketika ujian percubaan yang lepas.
''Semua ini hasil pengorbanan umi yang banyak berkorban sejak saya kecil dan sentiasa berada di sisi, baik di rumah mahupun di sekolah.
''Semangat untuk belajar sentiasa ada walaupun dalam keadaan terbatas demi mencapai cita-cita sebagai profesor dalam bidang sains pada masa akan datang," katanya.
Menurut ibunya, Zalina Mohd. Kassim, 35, sejak enam tahun lalu sebaik anak sulung daripada empat adik-beradik itu mula bersekolah, rutin hariannya terpaksa dibahagi dua, antara rumah dan sekolah.
Ibu gigih yang mahu melihat anak sulungnya itu berjaya dalam pendidikan itu juga akan ke sekolah setiap waktu rehat untuk menyuapkan makanan kepada anaknya.
''Hampir semua pergerakannya terpaksa dibantu dan saya menggunakan kerusi roda untuk menolaknya ke sekolah kemudian duduk di atas kerusi lebih tinggi dan direka khas mempunyai tali di bahagian pinggangnya bagi menampung tubuhnya terdorong ke hadapan," katanya.
No comments:
Post a Comment