Kata Aluan Pengarah BPTV
Assalamualakum w.b.t, Tuan/Puan yang dihormati,
Tahun 2009 telah berlalu. Jika dianalisis pencapaian tahun 2009, kita telah mencapai banyak kemajuan. SMT telah memenangi pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan yang meliputi terutamanya aspek inovasi dan kreativiti, anugerah sekolah cemerlang, kumpulan meningkat mutu kerja, kewangan, koperasi dan juga ICT. Kita begitu menonjol dalam pelbagai pertandingan inovasi dan menjadikannya sebagai bidang kebitaraan atau "niche area" bagi SMT. Kejayaan-kejayaan tersebut telah mengharumkan nama SMT dan meningkatkan imej sekolah kita.
Kita juga telah diberi pengiktirafan sebagai salah satu bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran Malaysia melalui KPI ke-5 iaitu peningkatan 100% enrolmen murid vokasional dan kemahiran pada hujung tahun 2015. Kita perlu membuktikan kemampuan kita untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan. Sehubungan dengan itu juga penstrukturan semula SMT kepada SMV telah mula dilaksanakan pada tahun 2009. Kursus-kursus baru vokasional dan kemahiran perlu diperkenalkan dan diperluaskan.
Pendidikan voctech juga telah dipilih untuk menyertai strategi laut biru (blue ocean strategy) bagi meningkatkan nilai (value) supaya pendidikan voctech diterima sebagai pendidikan pilihan masyarakat. Bagi melaksanakan strategi laut biru ini, beberapa faktor perlu disisih, dikurangkan, ditambah dan diwujudkan dalam sistem kita.
Pada tahun 2010 ini, saya mengajak tuan/puan supaya meningkatkan iltizam untuk terus berusaha dengan lebih gigih supaya kita terus memenangi pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Marilah kita bersama-sama melonjakkan SMT dan SMV ke tahap yang lebih gemilang.
Tumpuan kita pada tahun 2010 ialah untuk melaksanakan semua strategi yang telah digariskan untuk mencapai KPI ke-5 KPM. Kursus-kursus vokasional akan diperluaskan ke SMV dan kursus-kursus baru kemahiran perlu diperkenalkan sebagai tambahan kepada kursus sedia ada. Sekolah diharapkan lebih menonjol dalam mempromosikan penawaran kursus-kursus melalui program outreach yang lebih terancang. Di samping itu autonomi dalam proses pengambilan murid juga akan diberikan sepertimana yang terdapat dalam strategi laut biru.
STRATEGI LAUT BIRU |
GRID Sisih-Kurang-Tingkat-Wujud |
Kita perlu memastikan kualiti pendidikan voctech berada pada tahap yang tinggi supaya rakyat yakin dengan mutu perkhidmatan kita. Sehubungan dengan itu kita perlu melaksanakan konsep 5S dengan berkesan. Konsep 5S perlu menjadi budaya kita dalam pengurusan tempat kerja terutama di bengkel-bengkel dan juga pejabat kerana persekitaran yang baik mampu menjadi dorongan dan motivasi untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.
Dalam pengurusan akademik, kita uruskan program pengajaran dan pembelajaran dengan lebih teratur, terancang dan mencapai standard yang diperakui di peringkat global. Untuk itu, prosedur kualiti khusus untuk pengurusan akademik telah dibangunkan supaya dilaksanakan di semua sekolah kita. Prosedur kualiti ini direka bentuk supaya memenuhi piawaian MS ISO 9001:2008. Beberapa ciri penting yang terkandung dalam prosedur kualiti ini ialah pelaksanaan pendidikan berasaskan kompetensi bagi aliran vokasional dan kemahiran, program kecemerlangan akademik melalui headcounts dan kajian tindakan, serta penggunaan SWOT Analysis dalam pengurusan panitia.
Akhir kata, marilah bersama-sama kita membina harapan melalui usaha gigih yang berterusan bagi menggapai kegemilangan pendidikan voctech yang kita terajui.
Sekian, terima kasih.
AHMAD TAJUDIN BIN JAB
Pengarah
Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
Kementerian Pelajaran Malaysia
No comments:
Post a Comment