Saturday, October 30, 2010

PIALA MALAYSIA 2010 - MILIK KLATE

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

P/S :Terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan di atas pemberian cuti peristiwa yang benar-benar satu peristiwa yang paling bersejarah ini.

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok tidak menimbulkan kekecohan yang memalukan negeri itu.

Beliau, sebaliknya meminta penyokong yang bertandang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan The Red Warriors dengan Negeri Sembilan itu memelihara semangat kesukanan yang tinggi.

“Dua perkara yang kita mahukan, pertama kita mahu menang dan kedua, jangan ada keganasan. Walaupun mengganas di padang bola ia akan memalukan negeri Kelantan. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.

“Saya mahu penyokong Kelantan pergi dengan semangat kesukanan, suasana dan akhlak kena jaga. Nak sorak, soraklah tapi jangan sampai lempar botol. Itu budaya orang Eropah, mereka tidak ada akhlak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin Kelantan akan menang dan para penyokong juga mampu menunjukkan teladan yang baik dengan sentiasa berpegang kepada akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Jelasnya, kerajaan negeri akan turut memberi insentif kepada pemain bola sepak Kelantan kerana berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah insentif yang bakal dihadiahkan kepada pemain terbabit, tetapi berbeza dengan musim lalu.

“Insya-Allah kita akan berikan insentif kepada pemain cuma kalau saya beri pula pergi ke Mekah, hanya boleh dirasai oleh orang yang ke sana sahaja. Isteri dan anak-anak di rumah tak dapat merasa.

“Insya-Allah kita akan beri wang tunai supaya mereka (pemain) sekeluarga dapat rasa. Jumlahnya tak akan diberitahu. Kalau kalah pun kita akan beri juga sebagai tanda menghargai kesungguhan pemain,” ujarnya.

Nik Aziz memberitahu, beliau akan diwakili oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub untuk menyaksikan perlawanan tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan Kelantan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan cuti umum pada 31 Oktober ini bagi memudahkan penyokong ke Bukit Jalil menyaksikan perlawanan tersebut, Nik Abdul Aziz berkata: “Cuti tak boleh beri sebab dah cuti untuk pilihan raya (Galas) pada 4 November. Kerajaan negeri dah beri cuti peristiwa untuk pilihan raya, jadi kita tak boleh beri cuti untuk bola kali ini.”

No comments:

Post a Comment