Monday, July 12, 2010



RAJA TENGKU PUTRI ANIS ketika dimasyhurkan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong di Kota Bharu

BERITA

Tengku Putri Anis Tak Diiktiraf Pewaris Saadong

BACHOK: Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan tidak mengiktiraf seorang gadis yang mangaku sebagai kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong berasal daripada keturunan Raja Jembal kerana terdapat keraguan dalam dakwaan itu.

Pengerusi pertubuhan, Nik Yusuf Nik Muhamad berkata, mereka sudah mengenal pasti latar belakang dan nama sebenar gadis itu yang disyaki bukan keturunan sebenar Puteri Saadong.

"Kita tidak mengiktiraf pengakuan gadis itu dan semua dakwaannya diragui kebenarannya," katanya di sini.

Nik Yusuf berkata, pertubuhan itu sedang menyiasat dakwaan gadis tersebut dengan mendapat pandangan daripada Persatuan Sejarah Negeri Kelantan dan Perbadanan Muzium Negeri manakala satu seminar sedang dirangka untuk membincangkan isu itu bagi mencari titik pertemuan untuk menentukan kesahihan lagenda Puteri Saadong dan salasilah mengenainya.

Beliau berkata, pertubuhan itu mengakui rupa paras Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, seiras dengan kerabat Raja Jembal tetapi dakwaan bahawa beliau adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong masih tidak diiktiraf.

Nik Yusuf berkata, pihaknya terkilan kerana Raja Tengku Putri Anis membuat pengakuan itu tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pertubuhan itu.

Katanya, upacara pemasyuran Raja Tengku Putri Anis sebagai Sri Ratu Ketujuh Saadong sempena mengakhiri apa yang dikatakan sumpahan tujuh keturunannya baru-baru ini tidak wajar dilakukan sebelum dakwaan berkenaan dibuktikan.

Beliau berharap gadis itu dapat mengadakan pertemuan dengan pertubuhan berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 ahli untuk mengkaji salasilah dan kebenaran dakwaannya itu.

"Apa yang saya baca dalam akhbar, beliau ada berjumpa dengan begitu ramai ulama untuk mengesan susur galur keluarganya tetapi tidak dengan kita," kata Nik Yusuf.

Raja Tengku Putri Anis yang mendakwa dirinya merupakan waris ketujuh kepada Puteri Saadong yang kisah sejarahnya disaluti mitos dan legenda.

Raja Tengku Putri Anis berkata, sudah sekian lama beliau menyimpan rahsia yang dibawa daripada generasi ke generasi dan tampil hampir pada saat dikatakan berakhirnya sumpahan Puteri Saadong yang merajuk membawa diri ke Acheh di Indonesia.

Menurut cerita, Puteri Saadong meninggalkan sumpahan 420 tahun lalu dengan kata-kata: "Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi ku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan."

Nik Yusuf berkata, beliau tidak mempercayai kewujudan sumpahan itu dan ia hanya ditimbulkan dalam mitos dan cerita dongeng mengenai Puteri Saadong.

"Malah, banyak pihak pernah membuat dakwaan sebelum ini bahawa mereka juga adalah kerabat Raja Jembal tetapi apabila kajian dibuat ia ternyata tidak benar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment