PETALING JAYA: Laman Facebook siri animasi Upin Ipin mendahului carta 50 laman paling popular di Malaysia.
Menurut GreyReview, Upin Ipin yang diterajui oleh syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd itu menduduki carta pertama dengan jumlah peminat seramai 3,884,016 orang.
Sementara stesen radio Hot FM menduduki carta ketiga dengan mengumpul 598,733 orang peminat, stesen televisyen TV3 tempat keenam (448,575), pawagam Golden Screen Cinemas tempat ketujuh (414,247), drama bersiri Korea percuma Maaduu (355,089), program realiti tarian 8TV Showdown (143,489).
Turut berada dalam carta adalah stesen radio Hitz.fm berada di tempat ke-22 (120,305), stesen radio Suria FM tempat ke-31 (103,615), filem pendek sosio-politik 15Malaysia tempat ke-32 (103,409), Astro tempat ke-41 (78,850).
Jumlah keseluruhan menunjukkan seramai 8.8 juta pengguna Facebook di Malaysia yang memasuki laman yang dicipta oleh syarikat tempatan dan luar negara tersebut sejak 1 November lalu.
Bagaimanapun, senarai ini tidak termasuk orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jumlah lebih 800,000 peminat atau Lisa Surihani dengan lebih 900,000 peminat di laman Facebook masing-masing.